Drpd seorang yg gagal STPM, kini beliau bergelar JUTAWAN hartanah

SAYA mengenali Muhammad Azlan Abdullah ini bertahun juga lamanya. Namun yang menariknya, kami tidak pernah bertemu. Kami hanya berbual melalui Messenger. Entah kenapa, berat betul saya hendak bertanyakan mengenai latar belakangnya.

Sejujurnya saya sangkakan Azlan seorang ustaz, apatah lagi dengan imej janggutnya yang tebal dan selalu dilihat mengenakan kurta. Tetapi lama kelamaan saya mula dapat hidu ‘sesuatu’. Saya mula perasan gambar dan ceritanya sering menghiasi akhbar dan majalah. Dari situ saya mula mengikuti perkembangan Azlan dari dekat.

Kemudian barulah saya tahu anak jati Besut, Terengganu ini rupanya seorang ejen dan pemaju hartanah yang berjaya serta memiliki aset jutaan ringgit! Menariknya Azlan tidak pernah menceritakan ‘siapa dia’ sepanjang kami kenal.

Saya sentiasa menunggu kot-kot dia ‘buka mulut’ namun setiap kali kami berhubung bertanya khabar, Azlan langsung tidak menyentuh mengenai kisahnya, sebaliknya dia lebih suka bertanyakan mengenai kisah saya, pulak!

Pernah beberapa kali kami berdua merancang untuk bertemu tetapi disebabkan komitmen masing-masing, semua yang dirancang tak pernah menjadi. Semalam ketika saya sedang menunggu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur, Azlan sekali lagi menghubungi saya sambil menyatakan yang dia sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke ibu negara dan berharap sangat agar temujanji kami yang tertangguh beberapa kali itu boleh direalisasikan.

Saya bersetuju. Malam tadi untuk sekelian kalinya, saya dapat bertemu dengan Azlan di sebuah restoran Arab di Ampang. Masih muda belia orangnya, baru berumur 32 tahun. Jika selama ini saya lihat Azlan bergaya dengan kereta mewahnya, menaiki helikopter ke sana dan ke sini, berkot dan berimej korporat, malam tadi jutawan yang juga pengasas syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini hanya berkemeja polos, seluar slack dan berselipar!

“Inilah diri saya yang sebenarnya bang, seorang lelaki yang gagal dalam STPM, tak habis belajar di kolej dan lemah penguasaan bahasa Inggeris, tetapi dia mempunyai iltizam hendak berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kemiskinan dan membantu 16 orang adik beradiknya.

“Alhamdulillah, misi asal itu telah saya langsaikan, kini misi saya nak bantu dan bimbing pula anak-anak muda di luar sana,” kata Azlan bersungguh-sungguh. Satu perkara mengenai Azlan, di bibirnya tak lekang daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah, memuji kebesaranNya dan berulangkali menekankan betapa pentingnya menjaga hubungan dengan yang maha Esa.

Kisah kejayaan bermula pada usia 20an…

Rupanya kisah kejayaan Azlan bermula seawal umur 20an lagi ketika dia terumbang-ambing selepas gagal menamatkan pelajaran. Ketika itu salah seorang bekas gurunya meminta dia membantu mencari mana-mana individu yang hendak membeli tanah. Sebagai imbuhan, Azlan telah dijanjikan komisen jika berjaya menjual tanah-tanah berkenaan.

Siapa sangka, di hari pertama bergelar jurujual hartanah, Azlan telah berjaya menjual sebidang tanah dan membawa pulang komisen sebanyak RM4,000. Paling tidak disangka, dalam tempoh enam bulan, Azlan telah berjaya mengumpul komisen bernilai hampir RM1 juta!

“Kalau saya cerita mungkin abang ketawa, masa mula-mula menceburi bidang jual beli tanah ini, saya langsung tak tahu apa-apa. “Apa yang saya lakukan hanyalah membuat fotostat pelan tanah dan mengedarkannya di setiap rumah bagi tujuan ‘marketing’…

Alhamdulillah bermula daripada kosong, saya berjaya menjual satu demi satu tanah hingga membawa pada keuntungan jutaan ringgit. “Hasil wang yang saya dapat itu, saya gunakan pula untuk membeli tanah-tanah yang hendak dijual, maknanya daripada menjadi seorang penjual, saya dah mula bergelar pembeli!,” kata Azlan.

Pernah gagal tapi segera bangkit…

Namun kejayaannya tidak bertahan lama, Allah menguji beliau dengan kegagalan demi kegag4lan selepas itu hingga membuatkan Azlan ‘jatuh’ sehingga dia hilang segala-galanya. Ia berpunca daripada ker4kusan Azlan membeli tanah tanpa terlebih dahulu mengkaji sama ada ia mempunyai nilai atau sebaliknya.

Tetapi Azlan tidak menunggu lama untuk ‘bangkit’. Berkat doa keluarganya yang tersayang, Azlan kembali mengatur langkah dan strategi sehinggalah berjaya bergelar pemaju hartanah dan perumahan seperti yang kita lihat pada hari ini.

Yang pasti, Azlan memberitahu, sejak kembali bangkit daripada kegag4lannya, dia tidak pernah putus menunaikan solat Dhuha pada setiap pagi dan bersedekah sebagai usaha untuk mendekatkan lagi dirinya dengan Sang Pencipta.

“Satu lagi perkara yang saya nak kongsi dengan abang, sehingga kini walaupun syarikat saya berjaya membuat keuntungan yang nilainya berjuta-juta ringgit, kehidupan saya dan keluarga sangat sederhana. “Saya tidak malu hendak mengaku dengan abang, rumah saya tidak ada sofa, tidak ada kerusi, tidak ada katil…bantal pun hanya ada tiga biji!

“Bukan kedekut, tetapi saya tidak mahu anak-anak saya dibuai oleh kemewahan, saya mahu mereka belajar tentang betapa pentingnya untuk bersederhana dalam semua perkara dan Alhamdulillah isteri saya juga memahami niat saya.

“Insha Allah, suatu hari nanti mereka akan merasai juga hasil kerja keras bapa mereka namun ketika ini biarlah mereka menjalani kehidupan seadanya sahaja,” kata Azlan yang kini sedang membina tiga buah surau untuk hadiahkan kepada beberapa tempat di negeri kelahirannya itu.

Serius, selama lebih dua jam berbual, saya tidak perasan waktu berjalan. Mendengar cerita, misi dan visi Azlan boleh membuatkan bulu roma kita meremang kerana tidak ramai daripada kita khususnya usahawan muda yang mempunyai ‘nilai’ seperti mana yang dibawanya.

Satu dalam seribu. Salute anak muda!

Kredit; Syahril A. Kadir

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*