PdPR : Realiti yg amat memeritkan…

Berpayung menahan perit panas matahari demi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ini antara cabaran dihadapi murid sekolah di kampung pedalaman, bukan sekadar perlu memiliki peranti yang baik malah capaian internet yang bagus.

Gambar ini diambil di kampung saya, Kg Selindang, kira-kira 18km daripada bandar Kuala Lipis, Pahang. Murid-murid sekolah rendah dan menengah ini terpaksa berpayung di tengah panas demi untuk mendapatkan capaian internet terbaik untuk mengikuti PdPR. Kata mereka kebiasaannya tahap capaian adalah H+ sahaja. Senario ini mungkin mewakili banyak lagi kampung pedalaman di serata pelosok negara.

Bukan sahaja capaian telefon selular yang bermasalah, alternatifnya iaitu telefon talian tetap milik Telekom Malaysia (TM) juga tiada di kampung ini. Pernah jiran kepada murid-murid ini yang merupakan seorang pesara guru memohon talian TM ke rumahnya supaya dapat melanggan Streamyx atau Unifi.

NAMUN hasrat tersebut terbantut kerana menurut beliau, kos tiang kabel telefon berjumlah ribuan ringgit serta perlu dibawa jauh daripada Raub, dan TM tidak mahu bertolak ansur mengenainya. (NOTA: Raub jauhnya 68km daripada kampung ini, dan beberapa tahun lepas TM telah menutup operasi Kedai TM di Kuala Lipis dan kini semua urusan dibuat di Kedai TM Raub!!).

Saya teringat kisah beberapa tahun dahulu apabila seorang pegawai kanan kerajaan yang bersara dan kembali menetap di sebuah kampung berhampiran. Beliau memohon Streamyx daripada TM, namun permohonan tersebut tidak diluluskan kerana ketiadaan kemudahan tersebut di situ.

Beliau mendakwa pihak TM meminta beliau mengumpulkan tandatangan orang kampung yang berminat untuk mendapatkan Streamyx supaya servis tersebut dapat disediakan. Saya pelik, ADAKAH itu kaedah pemasaran produk TM?…

Saya juga berdepan masalah capaian telefon selular yang lemah di kediaman saya sendiri. Walaupun telah beberapa kali menghubungi Celcom, namun setelah beberapa tahun tidak ada penyelesaian dilakukan meskipun khabarnya staf mereka ada datang membuat kajian di sekitar kampung saya, Kg Selindang.

Kepada pihak berkenaan: SKMM, Telekom Malaysia, Celcom, dan lain-lain yang menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi, permudahkan urusan pelanggan. Sempena kekangan wabak Covid-19 ini, diharapkan sediakan juga pakej-pakej khas untuk murid sekolah yang terpaksa meneruskan pengajian melalui PdPR.

Pihak kerajaan diharapkan dapat memastikan pembinaan menara telekomunikasi tambahan di kawasan-kawasan pedalaman dapat disegerakan. Kepada yang berminat membantu boleh hubungi saya.

Kredit; Roslan Zainal Al-Ahmadi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*